Friday, 28 March 2014

"Ya Ayyuhannas, U'budullah".

Ustaz Azhar Idrus, penceramah yang dijemput menyampaikan kuliah sesi kedua dalam Kuliah Perdana, Jumaat lepas menyeru seluruh hadirin yang hadir supaya menyembah Allah taala dengan sebenar-benarnya.

azhar idrus
Hadirin yang dianggarkan sekitar 10,000 diingatkan bahawa menyembah Allah bukan sama seperti menyembah patung berhala sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang kafir, tetapi menyembah Allah bermaksud menyusahkan diri sedikit demi Allah.

“Siapa yang nak bertuah, kena jadi hamba dulu di dunia, sanggup bersusah kerana Allah, sanggup mati kerana Allah. Hamba Allah tiada gaji. Kerana istilah ‘hamba’ sendiri sudah bermaksud tiada gaji namun ada nafkah baginya iaitu di akhirat kelak.”

“Kalau manusia diajar dengan gaji, baca Quran satu muka dapat RM100, baca satu muka lagi dapat gaji lagi, maka manusia hanya akan membaca Quran semata-mata kerana mahukan gaji. Seolah-olah boleh kaya dengan membaca Quran. Sehingga ada yang tertidur dengan Al-Quran. Boleh jadi. Namun Allah tidak buat sebegitu, di sinilah dapat dinilai hanya orang yang kuat kecintaannya kepada Allah akan buat sesuatu samada dibayar ataupun tidak.”

Beliau mengingatkan bahawa Allah tidak mengira individu itu berkopiah atau berjanggut untuk dimasukkan ke syurga. Walaupun seseorang berpakaian jeans dan bertopi tetapi jika dia beriman dan beramal, tetap akan masuk syurga. Ini disebabkan dia memperhambakan dirinya kepada Allah.

“Sebab itu ulama’ berpesan suruh kenal Allah semenjak lahir lagi. Bayi yaang baru lahir diazankan supaya kenal Allah. Siapa kenal Allah akan cinta Allah dan takut Allah. Siapa yang takut Allah akan mendekati Allah, siapa yang takut makhluk sebaliknya akan lari.”

“Orang yang cintakan Allah banyak melabur hartanya tanpa berkira. Tanah dilabur untuk sekolah tahfiz. Kita, kalau kutip derma untuk perjuangan, bagi seringgit sahaja.  Rasulullah mendengar tapak kaki Bilal ibnu Rabbah yang miskin di syurga, ini kerana beliau diugut akan imannya dengan meletakkan batu di  atas dadanya, namun yang terkeluar dari mulut beliau adalah “Wahid!” “Wahid!”. Tidak puas dengan batu, besi panas pula ditoreh di atas belakang beliau namun Bilal bin Rabbah tetap menjawab, “Wahid!” “Wahid!”. Kekuatan iman beliau yang tidak mampu digugat sebeginilah menyebabkan Rasulullah mendengar tapak kakinya di dalam syurga.”

“Justeru, biarlah kita ini berpegang kuat dengan Islam dulu kini selamanya, jangan takutkan ugutan borang BR1M sampai tak mahu datang mendengar kuliah.”

Beliau menambah, “Bukan orang Islam sahaja diharamkan arak, judi dan babi tetapi semua orang diharamkan termasuk orang kafir. Namun di negara Islam kita tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas orang kafir. Walhal orang kafir pun tidak boleh makan benda-benda kotor, haram juga bukan setakat bagi orang Islam sahaja.” Ini berdasarkan firman Allah, “Wahai umat manusia”. Kamu semua (tidak kira Islam atau bukan) makanlah dari atas bumi ini yang halal dan bersih.” Maka haram kita bagi mereka makan benda yang haram.

Beliau mempersoalkan, adakah benar kita menyusahkan diri kerana Allah? Jika ya, maka tiada lagi alasan. Ada orang membeli syurga dengan amalan, ada yang mendapat syurga lantaran puasa, lantaran banyak berselawat, lantaran haji, perang dan ada juga yang masuk syurga dengan memberi minum air kepada anjing. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah s.w.t.

“Allah menyuruh kita memandang langit. “Wa ilassamaaai kaifa rufiat.” Kenapa tidak tengok langit? Ia boleh meningkatkan takwa kita. Allah suruh kita tengok langit. Allah buat bumi, turunkan hujan pula. Semua yang di sekeliling kita ini milik Allah taala. Namun kita tidak bersyukur, kita lawan Allah, menolak hadith dan macam-macam lagi. Ada seseorang yang suruh kita ikut dia dan membuang Nabi. Dia tu sape? Kita ini masih waras, tidak ada kebaikan dan tidak ada kecintaan Allah jika kita menolak Nabi. Allah berkata kalau kamu sayang Allah maka ikutlah Nabi. Nak mendapat rahmat Allah kena ikut nabi kerana siapa yang tolak Nabi, dia akan duduk di dalam kesesatan.”

“Allah yang ciptakan semua yang ada di bumi ini. Orang kafir makan ayam, sedangkan ayam Allah yang buat. Allah cipta kaki kita yang tidak perlu ditukar seperti tayar kereta yang habis bunga apabila sampai masanya. Allah beri kita ‘sofa’ yang empuk supaya kita boleh duduk tanpa rasa sakit. Kalau punggung kita Allah jadikan seperti lutut, setiap kali duduk kita akan mengaduh.”

Beliau menegaskan, “Jangan kita bertangguh untuk hadir mendengar ilmu. Ada yang tunggu pencen baru mahu belajar fardu ain. Baru mahu belajar bab air mani sedangkan dia sudah kehabisan. Jangan sampai Allah tarik pendengaran kita, baru mahu pergi menadah ilmu. Ada orang, tunggu dua tahun lagi untuk pencen dan mahu mendengar kuliah. Apabila dia pencen, pendengaran dia sudah Allah tarik. Allah mahu tunjuk kerana dia sibuk sangat menghambakan diri kepada kerajaan manusia sampai lupa akan kerajaan Allah.

Rabiatul Adawiyah mengerjakan tahajud 300 takaat setiap malam. Imam Hanbali apabila terlalu sakit dipukul berdarah-darah atas belakang, hanya mampu mengerjakan solat tahajud 300 rakaat semalaman, atau mengikut sesetengah imam, 400 rakaat.

Rakyat wajib patuh kepada Allah, kerajaan wajib patuh kepada Allah, orang kaya wajib patuh kepada Allah. Kita semua ini duduk di bumi Allah maka wajib ikut peraturan Allah.

Apabila ditanya soalan, “Apa pandangan Dato Seri jika melaksanakan hukuman hudud di sini?” Dijawab, “Saya rasa tak berapa sesuai kalau melaksanakan di sini.” Patut kita tanya balik, “Dato Seri ini siapa yang buat? Buat sendiri ke atau Allah yang buat?” Boleh jawab begitu, tetapi jangan duduk di bumi Allah sebagaimana disebut dalam hadith qudsi, “Barangsiapa yang enggan dengan hukum Allah, tidak sabar dan tidak berterima kasih di atas nikmat yang Allah bagi, keluarlah cari negeri lain selain di bumi Allah.” Bukan kita yang halau, Allah taala yang halau, “Silalah keluar dari bawah langit Aku.” Sebenarnya boleh ke tidak kita keluar? Tak boleh. Maka laksanakanlah hukum Allah. Letakkan jawatan dan beri jawatan kepada orang lain. Semua presiden-presiden negara akan dihumban ke dalam neraka jika tidak melaksanakan hukum Allah.”

Perlu diingat, menolak Nabi sudah menjadi kafir kerana ini bermaksud menolak lafaz syahadah kadua (asyhadu anna Muhammadan Rasulullah), bahkan menolak satu huruf ba’ dalam ‘bismillah’ sudah menjadi kafir. Maka, orang yang menolak hudud juga masuk neraka selama-lamanya,” tegas beliau.

Kuliah Perdana Sesi 2
28 Februari 2014
28 Rabiulakhir
Disampaikan oleh : Ustaz Azhar Idrus

No comments:

Post a Comment